• Susah kencing
    Bengkak dan calar pada tisu sekitar ruang faraj dan pundi kencing kadang-kadang boleh menyebabkan anda sukar kencing selepas melahirkan. Cuba buat senaman faraj semasa kencing dan letakkan tuala wanita yang suam atau sejuk pada faraj untuk kurangkan bengkak. Sukar kencing berlaku tidak lama kerana ia hilang dengan sendiri selepas beberapa hari.
  • Buasir
    Sekiranya anda merasa sesuatu keluar daripada dubur dan sakit setiap kali buang air besar, anda mungkin mengalami buasir. Buasir terjadi akibat tekanan yang tinggi semasa meneran menyebabkan salur darah sekitar dubur menjadi kembang. Untuk mengurangkan rasa tidak selesa, gunakan tuala wanita bersama diletak pada bahagian dubur. Sekiranya sakit keterlaluan atau buasir menjadi semakin bengkak, anda disarankan berjumpa doktor.
  • Sembelit
    Untuk mengelakkan daripada najis menjadi keras, amalkan memakan sayuran dan makanan berserat tinggi semasa pantang dan minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
  • Sakit payudara
    Selepas beberapa hari bersalin, payu dara akan dipenuhi susu dengan banyaknya dan payudara anda akan mula merasa sakit, berat dan bengkak. Rasa tidak selesa pada payudara selalunya berakhir sebaik bayi anda mula pandai menghisap susu. Anda juga boleh menggunakan tuala sejuk atau suam pada buah dada bagi mengurangkan bengkak.
  • Rambut gugur
    Semasa hamil, kadar keguguran rambut menjadi kurang disebabkan hormon daripada uri yang menghalang keguguran rambut. Sesetengah wanita pula mungkin mendapati rambut tumbuh lebih lebat dari biasa. Namun selepas bersalin rambut anda akan luruh dua kali ganda lebih kerap dari biasa disebabkan rambut yang tumbuh berlebihan tadi. Makan makanan berzat dan elak daripada mengering atau mewarnakan rambut secara keterlaluan.
  • Perubahan warna kulit
    Anda mungkin perasan ada bintik bintik merah pada kulit muka dan leher selepas melahirkan, jangan bimbang kerana ia sebenarnya disebabkan oleh saluran darah kecil yang pecah semasa proses meneran. Bintik ini akan hilang selepas seminggu. Kesan regangan pada perut pula tidak akan hilang dengan mudah. Ia akan menjadi hitam kepada putih selepas beberapa bulan. Perubahan kulit lain seperti jaluran hitam di tengah perut akan hilang sepenuhnya secara beransur ansur.
  • Perubahan emosi
    Selain perubahan fizikal, ibu juga kerap mengalami gangguan emosi, kesedihan tak menentu dan risau berpanjangan. Ada juga yang mengalami masalah kemurungan. Masalah itu selalunya berakhir selepas 10 hari dan pada masa sama, cuba dapatkan tidur secukupnya atau dapatkan nasihat doktor.
  • Perut buncit dan berangin
    Sejurus melahirkan, fizikal anda akan masih kelihatan bulat, tidak ramping. Sesetengah masih kelihatan masih seperti orang hamil kerana usus mengandungi angin berlebihan. Keadaan ini hanya sementara kerana semua cecair badan dan lebihan lemak yang terkumpul sepanjang kehamilan bakal hilang.
  • Pemeriksaan selepas pantang
    Selepas enam minggu, doktor anda akan memeriksa keadaan faraj dan rahim untuk pastikan sistem peranakan anda pulih 100 peratus.

    Pengambilan diet sepanjang berpantang
  • Jenis ikan
    Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana akan menyebabkan darah nifas berbau, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.

    Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain.

    Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin ialah haruan dan Yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka dalaman dan luaran. Ikan haruan hidup dalam lumpur juga mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan Yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut menyokong kebenarannya.
  • Ulam-ulaman
    Ada pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi serat, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, mengandungi anti oksidan.
  • Jenis sayuran dan buahan
    Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam dan kekacang serta jeruk. Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta berasid seperti air tebu, cincau, kelapa muda dan nanas.
  • Jenis ayam dan burung
    Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.