Simply nak share pasal ni, sebab hari tu ada ibu yang bertanya pasal ni.. Moga beri manfaat ok...
Atasi Bayi Muntah Selepas Menyusu
Oleh: Editorial PaMa
Tarikh:
13 Disember 2011
Bayi muntah atas pelbagai sebab. Ia bukan sesuatu yang boleh dianggap
normal sehingga dipastikan oleh pakar perubatan. Ikuti penjelasan lanjut
daripada doktor pakar kanak-kanak yang juga pakar laktasi IBCLC, Dr.
Hairin Anisa Tajuddin.
Lazimnya, muntah yang dialami bayi disebabkan oleh punca yang biasa dan
tidak serius. Namun, anda perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor
untuk memastikan tiada masalah lain yang mungkin membahayakan bayi.
Antara sebab-sebab biasa bayi muntah selepas menyusu antaranya menjeluak
(regurgitation) apabila susu ibu terpancut dengan laju semasa refleks
melepas, susu mengalir terlalu banyak, bayi minum terlalu kenyang atau
otot injap bawah saluran makanan esofagus (lower esophageal sphincter)
belum matang dan kuat.
Bayi yang suka menghisap dalam tempoh yang lama semasa tidur separa
sedar walaupun sudah kenyang, akan muntah seperti menjeluak. Namun, bayi
selalunya masih tenang (tidak meragam) dan tidak mengalami kesukaran
bernafas. Jika susu ibu terpancut dengan laju atau mengalir terlalu
banyak secara tiba-tiba, dia akan bertindak seperti menegangkan
badannya, menarik puting atau menolak puting keluar hingga anda tersalah
anggapan bahawa bayi tidak mahu meneruskan penyusuan. Jika bayi
tersedak akibat pancutan susu yang laju atau minum terlalu banyak, dia
akan termuntah semasa atau sejurus selepas mengeluarkan puting ibu.
Sememangnya terdapat penyakit Gastroesophageal reflux (GER) yang
menyebabkan bayi selalu muntah. Keadaan ini disebabkan oleh otot injap
bawah salur makanan esofagus (lower esophageal sphincter) yang belum
kuat hingga menyebabkan susu berpatah balik ke atas. Kadangkala, bayi
mungkin mengalami tanda kerengsaan ulu hati seperti menangis atau
meragam. GER ini akan beransur hilang dalam masa 6 - 8 bulan. Walaupun
begitu, jika GER serius dan berterusan melebihi umur 8 bulan serta
mengakibatkan masalah kesihatan yang lain, pakar kanak-kanak akan
memberikan ubat untuk mengurangkan simptom ini.
Sebab Bukan Biasa
Antara sebab yang boleh mengundang bahaya kepada bayi yang kerap muntah
selepas menyusu termasuklah penyakit berkaitan usus. Contohnya injap
atas perut yang sempit (pyloric stenosis), saluran usus masuk ke dalam
usus (intussussception) dan usus terpusing (malrotation). Jika mengalami
masalah usus seperti yang dinyatakan, bayi akan menunjukkan tanda
seperti perut lebih buncit daripada biasa, muntah dengan halaju yang
tinggi, meragam disebabkan oleh kesakitan, membuang najis besar berdarah
atau tidak membuang najis besar dalam jangka masa lebih lama daripada
kebiasaannya (sembelit).
Terdapat juga kemungkinan punca yang tidak berkaitan usus seperti
kencing kotor, jangkitan pada tekak atau kelenjar tonsil dan jangkitan
telinga. Biasanya bayi demam, kurang selera untuk menyusu, merengek dan
muntah semasa atau sejurus selepas menyusu. Alahan kepada protein susu
lembu yang hadir dalam susu ibu (jika ibu minum susu daripada lembu atau
makanan berasaskan susu lembu) juga boleh menyebabkan bayi muntah.
Untuk makluman, terdapat kes bayi kerap muntah yang puncanya tidak
dapat dikenalpasti. Walau bagaimanapun, kebanyakan masalah yang dialami
bayi ini akan berkurangan sendiri dalam masa 6 bulan tanpa mengambil
sebarang ubat.
Apabila bayi terlalu kerap muntah selepas menyusu, dia mungkin
mempunyai masalah-masalah seperti berat badan tidak bertambah dengan
baik, gangguan pernafasan akibat selalu tersedak sehingga mungkin
mengalami “aspiration pneumonia”, menolak untuk disusukan dan kuat
meragam disebabkan oleh kerengsaan ulu hati.
Jika bayi selalu berkahak dan batuk sebelum atau semasa bayi mengalami
masalah kerap muntah, anda perlu membawa bayi berjumpa pakar untuk
mengetahui punca sebenar hal ini berlaku. Kahak yang banyak menyebabkan
tekak bayi tidak selesa hingga boleh menyebabkannya muntah berlendir.
Namun, kebanyakan bayi yang kerap muntah tanpa sebab-sebab yang serius,
tidak menunjukkan kesan-kesan yang perlu dibimbangkan. Bayi seperti ini
selalunya akan membesar dengan baik sekali gus menjadi bayi yang aktif
dan gembira.
Amalan Kurangkan Risiko Muntah
1. Meninggikan kedudukan kepala bayi di atas paras perut selepas
menyusu mungkin boleh membantu sesetengah bayi walaupun kajian terkini
menunjukkan kedudukan ini tidak banyak membantu mengurangkan muntah
(Carroll 2002, Secker 2002, Craig 2004]. Posisi lain yang boleh membantu
ialah bayi mengiring atau meniarap semasa bayi masih terjaga (Secker
2002). Namun, posisi meniarap tidak digalakkan jika bayi tertidur kerana
boleh meningkatkan risiko kematian bayi secara mengejut (SIDS).
2. Cuba susukan bayi dalam keadaan dia seperti menegak/ berdiri
(upright nursing position). Namun, pastikan perut bayi bertemu perut
anda. Ia dipercayai boleh membantu mengurangkan risiko bayi tersedak.
3. Jika pancutan susu terlalu laju, anda boleh mengurangkannya dengan
menekan payu dara secara pegangan gunting semasa menyusu bagi
mengurangkan pancutan seterusnya mengelakkan bayi tersedak.
4. Elakkan daripada menekan perut bayi. Dalam masa yang sama, pakaikan
bayi baju yang longgar. Jika dia memakai barut perut, longgarkan atau
tanggalkannya.
5. Sasarkan penyusuan yang kerap apabila bayi menunjukkan tanda lapar.
Tidak perlu menunggu sehingga bayi menangis. Hal ini kerana tangisan
merupakan tanda terakhir bayi lapar. Walaupun bayi menyusu hanya
sekejap, pastikan dia mendapat susu akhir yang cukup. Anda boleh amalkan
teknik memerah susu yang awal keluar dulu dan simpan untuk kegunaan
masa lain dan susukan bayi dengan susu akhir yang tinggi kandungan
lemak. Lebih kerap penyusuan, lebih tinggi kandungan lemak di dalam susu
ibu. Habiskan penyusuan di satu payu dara terlebih dahulu dan tunggu
sehingga bayi melepaskan puting secara sendiri. Kadang-kadang bayi yang
telah kenyang masih mencari puting dan membuat gerakan mulut seperti
menghisap walaupun kelihatan tidur (bayi separa sedar). Ketika ini, ibu
boleh alihkan bayi ke payu dara sebelah lagi sehingga dia betul-betul
terlena. Elakkan menukar bayi ke payu dara sebelah lagi terlalu cepat
atau kerap terutamanya sewaktu bayi masih aktif menghisap. Ketahuilah,
perbuatan ini akan menyebabkan bayi mudah termuntah.
6. Bagi bayi yang cerewet, meragam atau menolak untuk disusukan,
banyakkan sentuhan kulit ke kulit dan elakkan daripada memaksa. Boleh
juga menyusu ketika anda berjalan dan membuai bayi di dalam kain
kendongan (baby sling). Penggunaan baby sling boleh membantu bayi
mengurangkan risiko muntah. Pelekapan pada puting mesti betul bagi
mengelakkan bayi banyak menelan angin yang boleh menjurus kepada masalah
kembung. Anda juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi ketika bayi
sedang mengantuk.
7. Kadang kala, bayi lebih tenang apabila berada di payu dara. Oleh
itu, galakkan hisapan bukan nutrisi (non nutritive suckling). Lazimnya,
bayi sudah kenyang tetapi amalan ini membantu mengurangkan kerengsaan
perut, mempercepatkan pengosongan perut bayi dan melancarkan
penghadamannya.
8. Jika bayi muntah oleh kerana mengalami kembung perut, bantu dia
sendawa dan belajar cara-cara untuk merawat kembung bayi daripada pakar.
Cuba kenal pasti makanan yang diambil oleh ibu hingga memungkinkan
masalah kolik atau kembung seperti susu lembu dan kafein. Jika itu
penyebabnya, elakkan daripada mengambil makanan tersebut. Untuk
pengetahuan, protein susu lembu boleh hadir di dalam susu ibu dan
menyebabkan bayi mendapat alahan perut.
9. Perah susu awal terlebih dahulu (susu yang mengandungi nisbah
laktosa kepada lemak yang lebih tinggi) dan susukkan bayi dengan susu
akhir (lebih berlemak, nisbah laktosa kepada lemak adalah kecil).
Habiskan penyusuan sehingga bayi benar-benar kenyang di sebelah payu
dara. Sebagai maklumat tambahan, jika laktosa tinggi berbanding lemak,
proses penapaian laktosa akan menghasilkan banyak gas dalam usus bayi
yang akan menyebabkannya kembung. Jadi, kandungan lemak yang lebih
daripada laktosa akan mengurangkan risiko kembung.
10. Amalan mengurut bayi dengan cara yang betul boleh mengurangkan
risiko refluks dan kembung perut. Urutan bayi bukan sahaja dapat
menenangkan bayi malah melancarkan sistem penghadaman dan menguatkan
ototnya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
OK... itu saja untuk hari ini ya.... Dan promosi ESP masih berjalan tau, dapatkan 1 dengan harga menjimatkan....
Salam Sayang dari
Healthy by Nature....